Friday, July 22, 2011

saya ada kawan . . .

Cuti semester memang berharga buat para pelajar – macam diri ini juga. Tambah pula belajar jauh daripada negeri sendiri, maka kesempatan cuti yang ada tidak disia-siakan dengan berjalan-jalan melihat alam (atau lebih dikenali dengan nama melancong).

Cuti musim sejuk kali ini sama sahaja projeknya seperti tahun sebelumnya iaitu ‘Winter Trip’. Cuma yang berbeza ialah penambahan aktiviti dan juga individu yang terlibat. Ya, seperti tahun yang sudah trip kali ini juga dengan menggunakan van. Dan van yang kunaiki tahun ini lebih selesa. Mungkin kerana jumlah peserta yang sedikit dan kecekapan AJK memilih van?

Apa-apa pun destinasi yang dituju hampir sama (juga). Kali ini ditambah destinasi ke New Castle yang memang amat jauh daripada tempat belajar. Trip kali ini berbeza sedikit daripada tahun lepas – bukan sekadar melihat-lihat alam tetapi menghadiri kem juga (rasanya tujuan utama ialah kem tersebut).

Seperti biasa apabila menghadiri kem sudah pastilah ramai individu-individu yang tidak dikenali. Mungkin diri ini pemalu orangnya, maka berdiam diri sahajalah yang mampu dilakukan. Bukan tidak suka berkenalan dengan yang lainnya, cuma perasaan segan dan malu yang terlalu tebal menyebabkan diri berkelakuan pasif sahaja. Sepatah yang ditanya, sepatah jugalah yang dijawab menurut seorang kawan baru yang begitu berterus terang dengan diri ini. Hahaha. Ada kebenaran tentang pernyataan itu.

Tapi itu semua pada permulaan perkenalan. Apabila sudah berhari-hari bersua muka dan bertegur sapa, sedikit demi sedikit perasaan malu itu mula hilang sehingga dirasakan diri ini kurang malunya dengan banyak bercakap.




Cukup rasanya bercerita mengenai trip tersebut. Maklumlah tujuan tulisan kali ini pun untuk bercerita tentang kawan baru yang dikenali. Jujurnya, kawan tersebut bukanlah pertama kali ditemui. Bahkan sepatutnya sudah lebih daripada tahu namanya kerana sebelum ini kami pernah bersama-sama menghadiri satu “kem kesedaran” anjuran organisasi yang sama.

Tapi diri ini begitu aneh sekali sehinggakan terlupa kewujudan kawan ini buat sementara. Haha (but to my defence he was actually having shorter hair back then and my aim was not really to make friends there anyway but that is another story!).

Kawan baru ini begitu seronok/selesa untuk didampingi. Memang peramah dan asyik sahaja membuatkan diri ini ketawa dan suka. Entah apa-apa jampi yang dikenakan sehingga membuatkan diri ini ingin selalu berbual dengan dirinya. Pernah kawan ini ceritakan bahawa diri ini mempunyai perwatakan yang hampir sama dengan kawan baiknya yang terdahulu. Mungkin sebab itu kawan baru begitu mesra dengan diri ini? Entahlah.

Jadi pesanan kepada kawan baru, terima kasih kerana sudi melayan kerenah diri ini yang tidak menentu anginnya. Hehe. Semoga persahabatan ini kekal sehingga ke syurga. Amin.

Muhasabah diri: berukhuwwah kerana Allah SWT.

0 comments:

Post a Comment