Friday, July 22, 2011

saya ada kawan . . .

Cuti semester memang berharga buat para pelajar – macam diri ini juga. Tambah pula belajar jauh daripada negeri sendiri, maka kesempatan cuti yang ada tidak disia-siakan dengan berjalan-jalan melihat alam (atau lebih dikenali dengan nama melancong).

Cuti musim sejuk kali ini sama sahaja projeknya seperti tahun sebelumnya iaitu ‘Winter Trip’. Cuma yang berbeza ialah penambahan aktiviti dan juga individu yang terlibat. Ya, seperti tahun yang sudah trip kali ini juga dengan menggunakan van. Dan van yang kunaiki tahun ini lebih selesa. Mungkin kerana jumlah peserta yang sedikit dan kecekapan AJK memilih van?

Apa-apa pun destinasi yang dituju hampir sama (juga). Kali ini ditambah destinasi ke New Castle yang memang amat jauh daripada tempat belajar. Trip kali ini berbeza sedikit daripada tahun lepas – bukan sekadar melihat-lihat alam tetapi menghadiri kem juga (rasanya tujuan utama ialah kem tersebut).

Seperti biasa apabila menghadiri kem sudah pastilah ramai individu-individu yang tidak dikenali. Mungkin diri ini pemalu orangnya, maka berdiam diri sahajalah yang mampu dilakukan. Bukan tidak suka berkenalan dengan yang lainnya, cuma perasaan segan dan malu yang terlalu tebal menyebabkan diri berkelakuan pasif sahaja. Sepatah yang ditanya, sepatah jugalah yang dijawab menurut seorang kawan baru yang begitu berterus terang dengan diri ini. Hahaha. Ada kebenaran tentang pernyataan itu.

Tapi itu semua pada permulaan perkenalan. Apabila sudah berhari-hari bersua muka dan bertegur sapa, sedikit demi sedikit perasaan malu itu mula hilang sehingga dirasakan diri ini kurang malunya dengan banyak bercakap.




Cukup rasanya bercerita mengenai trip tersebut. Maklumlah tujuan tulisan kali ini pun untuk bercerita tentang kawan baru yang dikenali. Jujurnya, kawan tersebut bukanlah pertama kali ditemui. Bahkan sepatutnya sudah lebih daripada tahu namanya kerana sebelum ini kami pernah bersama-sama menghadiri satu “kem kesedaran” anjuran organisasi yang sama.

Tapi diri ini begitu aneh sekali sehinggakan terlupa kewujudan kawan ini buat sementara. Haha (but to my defence he was actually having shorter hair back then and my aim was not really to make friends there anyway but that is another story!).

Kawan baru ini begitu seronok/selesa untuk didampingi. Memang peramah dan asyik sahaja membuatkan diri ini ketawa dan suka. Entah apa-apa jampi yang dikenakan sehingga membuatkan diri ini ingin selalu berbual dengan dirinya. Pernah kawan ini ceritakan bahawa diri ini mempunyai perwatakan yang hampir sama dengan kawan baiknya yang terdahulu. Mungkin sebab itu kawan baru begitu mesra dengan diri ini? Entahlah.

Jadi pesanan kepada kawan baru, terima kasih kerana sudi melayan kerenah diri ini yang tidak menentu anginnya. Hehe. Semoga persahabatan ini kekal sehingga ke syurga. Amin.

Muhasabah diri: berukhuwwah kerana Allah SWT.

Tuesday, July 19, 2011

Sejarah mungkin berulang lagi. Tiba-tiba perangai yang suka meng-emo hampir datang kembali. Hipotesis awal yang boleh dikemukakan ialah banyak sangat bercakap! Mungkin sebab dah lama tak berbual panjang dan berkata apa-apa yang ada dalam fikiran ini menyebabkan diri terlupa yang tidak semua benda boleh disuarakan. Hahha. Lucu apabila difikirkan pelbagai peristiwa tidak seronok berlaku apabila diri ini tiba-tiba banyak bercakap.

1. Apabila banyak bercakap, banyak juga yang salahnya. Mungkin terlalu asyik sehingga terlupa perasaan orang yang mendengarnya. Terlajak perahu boleh berundur, terlajak kata buruk padahnya – haishh ternyata pernyataan ini bukan kata-kata kosong orang yang terdahulunya.


2. Mungkin ada yang terluka apabila diri ini berkata-kata. Diakui kadang-kala perkataan yang terkeluar daripada mulut ini begitu tajam menusuk kalbu si pendengar. Nasib sangat la baik sebab acapkali ramai yang tidak mendengarnya (mungkin dia dengar cuma tak pasti? Sebab itu disuruhnya ulang sebut?)

3. Diri ini pun aneh perangainya. Apabila didapati diri telah terlebih kata, serta merta berhenti berkata-kata. Sehingga ada yang menyangka diri ini telah meng-emo (dan sudah tentu jauh sekali merajuk ya!). Haha. Minta maaf sahaja la ya, diri ini kadang kala bertindak tidak begitu rasional. Jadi, usah gusar usah bimbang abaikan sahaja kerenah yang kebudak-budakan ini.

Owh, rasanya itu sahaja yang ingin diperkatakan. Susah juga kalau setiap kali perlu diperjelas kepada setiap individu yang “terdedah” kepada radiasi perangai aneh ini. Harapnya mereka faham dengan sendirinya la ya. Semua pun sudah nampak dewasa. =)

Muhasabah diri: bercakap sekadar perlu!